EDU3093 GURU DAN CABARAN SEMASA
Cari Blog Ini
Sabtu, 5 September 2015
Strategi Dalam Mengurangkan Tekanan Emosi Guru Terhadap Penggunaan TMK
1.
Untuk mengatasi
masalah tekanan emosi akibat daripada tahap penguasaan yang rendah dalam
kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi ini seseorang guru perlu
mendapatkan sokongan yang kuat daripada rakan-rakan sekerja yang mahir. Sokongan ini sangat penting dan perlu untuk
meringankan bebanan dan menghilangkan tekanan yang dihadapi oleh guru
berkenaan. Apabila guru menghadapi
tekanan emosi, rakan-rakan setugas yang lain boleh memberi bantuan dan sokongan
dengan membantu guru untuk memberi tunjuk ajar serta latihan kepadanya. Melalui bantuan dan sokongan ini, guru dapat
menyelesaikan masalahnya dengan baik dan berkesan.
Dari aspek dalaman pula, sebagai seorang guru mereka
perlu memperkukuhkan lagi kekuatan dalaman agar mampu berhadapan dengan
pelbagai masalah dan cabaran pada masa hadapan kelak. Kekuatan dalaman yang dimaksudkan adalah
keperluan rohani seperti solat, sentiasa berdoa dan sentiasa yakin dengan
kebolehan diri sendiri serta berfikiran positif. Kadang kala kekuatan dalaman seperti ini menjadi
tunjang dan benteng kepada pengaruh tekanan emosi dalam diri. Guru-guru yang kurang menguasai kemahiran
teknologi ini perlu yakin pada diri mereka bahawa mereka mampu menguasai
kemahiran tersebut. Apabila minda dan
fikiran guru telah di set dengan cara positif, tekanan emosi dapat
dihindarkan. Walau berhadapan dengan
pelbagai masalah namun guru akan sentiasa tenang dan menghadapi masalah
tersebut dengan hati yang lapang. Dengan
cara sebegini, tekanan emosi guru tersebut dapat diuruskan dengan baik dan
berkesan.
Strategi seterusnya untuk mengatasi masalah tekanan
akibat daripada kurang penguasaan dalam kemahiran teknologi maklumat dan
komunikasi ini adalah dengan sentiasa mengadakan perbincangan bersama rakan
sekerja. Sesi perbincangan berkaitan dengan
urusan tugas tanggungjawab ini merupakan satu tindakan yang baik serta berkesan
dalam usaha untuk menghadapi masalah tekanan.
Melalui perbincangan yang dilakukan ini guru boleh saling bertukar idea
dan pandangan masing-masing untuk mengatasi sesuatu masalah. Pada guru yang kurang penguasaan terhadap
kemahiran teknologi ini, mereka boleh menggunakan masa untuk menuntut ilmu dan
mendapatkan bahan daripada golongan yang mahir.
Bukan itu sahaja, sekiranya sesi ini dijalankan di sekolah guru-guru
boleh bersama-sama menggunakan kemudahan teknologi yang ada di sekolah sebagai
satu sumber pembelajaran. Jadi, pada
guru yang kurang mahir ini boleh dibantu oleh rakan sekerja yang lebih mahir dan dari keadaan seperti ini
saya yakin bahawa proses pembelajaran dan penguasaan terhadap teknologi ini
dapat dikuasai dengan baik oleh guru-guru sekolah.
Pihak pentadbiran sekolah juga perlu memainkan peranannya
di mana mereka bertanggungjawab untuk memastikan penguasaan guru-guru dalam
kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi ini. Sekiranya terdapat guru-guru yang masih
kurang menguasai kemahiran tersebut, pihak sekolah perlu memberi satu latihan
yang khusus kepada guru untuk memantapkan penguasaan mereka dalam bidang ini. Tidak dinafikan bahawa penguasaan kemahiran
teknologi ini bukan suatu perkara yang mudah terutamanya bagi golongan guru
yang berusia. Penguasaan mereka agak
terbatas dan memerlukan masa dan latihan yang berterusan perlu sentiasa
dilaksanakan oleh pihak sekolah sebagai satu usaha untuk membantu guru-guru ini
dalam menguasai kemahiran teknologi ini.
Program sebegini sangat penting dan berfaedah sekiranya semua guru dapat
menguasai kemahiran ini dan matlamat pendidikan untuk menerapkan unsur
teknologi di dalam pengajaran dan pembelajaran dapat diterapkan dan dicapai
dengan baik dan sempurna.
Jumaat, 4 September 2015
Tekanan Emosi Guru dalam Melaksanakan TMK
1. Pengenalan
2. Tekanan Emosi Guru Melaksanakan P&P Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Tekanan atau stress yang melanda seseorang akan menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas mengikut keadaan dan tahap tekanan tersebut. Dalam menghadapi tekanan emosi ini bergantung kepada tahap tekanan tersebut sama ada ia berada di dalam tahap tekanan rendah atau tinggi. Sekiranya tahap tekanan tersebut adalah rendah maka tindakbalas individu terhadap tekanan tekanan itu tidak terlalu besar dan begitu juga sebaliknya.
Menurut pendapat yang dinyatakan oleh Fontana(1989), menyatakan bahawa tekanan emosi ini adalah satu bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan minda dan fizikal serta seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan menangani permintaaan tersebut, tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif. Ini bermaksud cara seseorang menangani tekanan bergantung kepada tahap kesediaan minda dan fizikal seseorang untuk menerima atau menyerap sesuatu tekanan yang diterima.
Sekiranya individu terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, sudah tentulah tekanan yang datang ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan individu tersebut tertekan dan menghadapi masalah yang lebih besar.
Tekanan bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan kerana ia boleh membawa seseorang kepada perubahan perlakuannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Namun, semuanya bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal seseorang untuk menyerap tekanan dan dapat menerima tekanan tersebut secara positif.
Dalam bidang pendidikan lain pula ceritanya di mana guru sering menghadapi tekanan yang teruk akibat daripada dasar pendidikan dan keperluan untuk memenuhi matlamat pendidikan yang terlalu tinggi. Pihak Kementerian telah memperkenalkan kemudahan aplikasi teknologi dan maklumat untuk dilaksanakan di sekolah yang sangat bermanfaat dan mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Memang semua guru sedia maklum tentang perkara ini tetapi tidak semua guru mampu menguasai kemahiran aplikasi ini terutama guru yang telah berumur kerana mereka tidak mendapat pendedahan yang secukupnya dan mereka perlu belajar semula kemahiran ini. Di sinilah telah timbulnya satu tekanan emosi dalam kalangan guru di mana-mana sekolah sekali pun.
2. Tekanan Emosi Guru Melaksanakan P&P Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Di Malaysia, profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar dan memerlukan ketahanan dari segi mental dan fizikal seseorang guru untuk mengadaptasikan perubahan yang berlaku. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai satu usaha dalam meningkatkan mutu sistem pendidikan di Malaysia. Pelaksanaan pelbagai-bagai reformasi ini, tugas, peranan dan tanggungjawab guru menjadi semakin mencabar. Tekanan terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan. Bukan sekadar itu, masalah ini akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikan.
Dr.Sapora Sipon, (2007) menyatakan peratusan kadar stress dalam kalangan pekerja di Malaysia yang telah dicatatkan pada tahun 2011 juga menunjukkan bahawa guru berada pada tempat keempat dengan peratusan sebanyak 45.8 % berbanding pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti jururawat, doktor dan sebagainya. Statistik ini membuktikan bahawa tugas guru ini bukan tugasan biasa dan mudah seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.
Tekanan emosi yang berpunca daripada kurangnya penguasaan dalam kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi ini telah mengakibatkan setengah guru menjadi tidak bermotivasi untuk menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka di sekolah. Penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi ini mempunyai kekurangannya yang tersendiri dan ia telah menjadi punca sebenar wujudnya tekanan emosi dalam kalangan guru. Guru tidak perlu memperuntukkan masa pembelajaran mereka untuk menunggu kelemahan jaringan internet untuk memasukkan markah ke dalam aplikasi yang disediakan. Igauan buruk kepada guru pula sekiranya tidak menggunakan aplikasi tersebut, pelbagai tindakan akan dikenakan ke atas mereka dan bagi mereka yang tidak menguasai kemahiran teknologi ini. Lama kelamaan akan menjadi tidak bermotivasi untuk menjalankan tugas mereka.
Seterusnya, seseorang guru juga menghadapi tekanan dalam menyesuaikan diri dalam perkembangan era globalisasi terutamanya dalam penggunaan alatan yang semakin canggih dalam sesi pengajaran. Bertitik tolak daripada itu, guru-guru pada masa kini perlu memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang setaraf dengan perkembangan era globalisasi yang dihadapi selain bebanan tugas yang lain yang sedia ada. Dahulu, teknologi dalam bidang pendidikan tidak berkembang pesat seperti hari ini. Oleh itu, kebanyakkan guru-guru tidak berpeluang untuk mendedahkan diri kepada teknologi dalam bidang pendidikan. Hal ini menyebabkan sebahagian guru tidak mahir dalam menggunakan teknologi pada hari ini untuk pengajaran. Mereka juga menganggap penggunaan ICT yang semakin canggih pada hari ini merupakan sesuatu yang komplex dan tidak mudah untuk dipelajari. Hal ini menyebabkan kegusaran dan menjadi satu tekanan kepada guru yang seterusnya membawa kepada tekanan emosi mereka.
Selain itu masalah mencari maklumat yang mempunyai akses ke teknologi maklumat dan komunikasi tidak menjamin maklumat ada dapat digunakan untuk pembelajaran yang bermakna. Keadaan ini berlaku kerana guru menghadapi masalah untuk membuat pilihan ketika mencari maklumat disebabkan gambaran di hadapan mereka bercampur aduk serta maklumatnya bercelaru. Keadaan ini akan memberi kesan kepada pemilihan. Oleh itu guru haruslah melengkapkan diri dengan kemahiran menggunakan enjin mencari maklumat yang dikehendaki daripada teknologi tersebut.
Guru juga mengahadapi masalah menghasilkan pembelajaran secara talian. Penghasilan bahan pengajaran secara talian di kalangan guru masih lagi di tahap yang rendah.Ini disebabkan kebanyakan para guru tidak mempunyai pengalaman untuk membina laman web. Ini diakui melalui kajian Foong (1999) menunjukkan hanya 12.5% daripada guru diSelangor mempunyai pengalaman dan pengetahuan merekabentuk laman web. Kekurangan kemahiran ini telah membataskan guru untuk menghasilkan bahan pengajaran secara talian. Selain itu, penyediaan pembelajaran secara talian memakan masa yang panjang berbanding penyediaan pengajaran secara tradisional. Kajian yang dijalankan oleh National EducationAssociation dalam Weiner (2000) terhadap guru-guru di Amerika mendapati 43% gurumenyatakan penyediaan untuk pembelajaran secara talian memakan masa yang lebih lama kerana beban kerja tambahan yang perlu dilakukan seperti merekabentuk laman web.
Selain daripada masalah yang diutarakan terdapat masalah yang paling ketara di sekolah iaitu kekurangan peralatan untuk teknologi maklumat dan komunikasi ini. Untuk mencapai tahap penggunaan yang optima, beberapa komputer diperlukan untuk kegunaan di dalam bilik darjah. MengikutMcKenzie (1996) yang menyatakan guru memerlukan 6 sehingga 8 unit komputer di sekolah rendah dan 10 sehingga 15 unit komputer di sekolah menengah untuk membolehkan program berasaskan teknologi dilaksanakan dengan berkesan di sekolah. Namun demikian,kemudahan ini sukar diperolehi kerana kebanyakan sekolah hanya mampu menyediakan computer di makmal komputer sahaja. Penyusunan demikian akan menyebabkan tahap penggunaan VLE Frog masih rendah dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan laman pembelajaran ini menjadi sukar kerana tidak terdapat komputer dalam kelas. Ini adalah disebabkan kekangan peruntukan kewangan untuk membeli komputer dan membuat penyelenggaraan komputer.
Rabu, 2 September 2015
Cara-cara Menangani Masalah Gangguan Emosi Murid
Sebagaimana
ahli falsafah Yunani Aristotle menegaskan, setiap individu mudah mengalami
gangguan emosi sekiranya seseorang itu tidak menguruskan sesuatu perasaan itu
dengan sebaiknya. Kini kebanyakan murid telah mengalami gangguan emosi kerana
mereka tidak menguruskan emosinya secara berpatutan dengan kebijaksanaan
menggunakan kecerdasan emosinya. Antara-antara langkah-langkah yang boleh
diambil oleh guru, ibubapa, murid dan pihak sekolah adalah seperti
berikut:
Kepimpinan Demokratik
Amalkan Sikap Kepimpinan Demokratik. Sebagaimana yang telah yang kita ketahui
kepimpinan guru bersifat demokratik boleh mewujudkan interaksi dua hala dan
membawa suasana sosio-emosi yang sihat, mesra dan harmonis di antara guru
dengan murid-muridnya. Sifat kepimpinan demokratik ini boleh mengurangkan
suasana yang tegang dan menggalakkan murid-murid berdamping rapat dengan guru,
tidak merasa segan untuk bertanya atau mengemukakan pendapat mereka. Sifat kepimpinan demokratik ini juga mendorong
murid-murid berinteraksi di antara satu sama lain, dan melibatkan diri secara
aktif dalam aktiviti kumpulan.
Pengelolaan Aktiviti Kumpulan
Mengelolakan Banyak Aktiviti Kumpulan Aktiviti Kumpulan memberi banyak peluang
kepada murid-murid untuk berinteraksi di antara satu sama lain. Oleh itu, guru harus berikhtiar merancang dan
menguruskan banyak aktiviti kumpulan untuk membolehkan murid-murid menjalankan
aktiviti pengayaan, aktiviti pemulihan, lakonan, sesi buzz, permainan
pertandingan atau kerja projek.
Aktiviti-aktiviti sebegini akan merangsang murid untuk menampil diri
kehadapan bagi menyiapkannya serta mereka tidak akan berasa diri mereka
diasingkan. Aktiviti-aktiviti ini juga
boleh menggalakkan murid untuk menujukkan bakat yang terpendam dalam diri
mereka.
Komunikasi Berkesan
Menggunakan
Percakapan Yang Sesuai sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Flanders,
percakapan guru yang boleh mewujudkan interaksi guru dengan murid-muridnya
adalah diklasifikasikan di bawah kategori pengaruh tidak langsung. Ini bermakna, untuk mewujudkan interaksi dua
hala, selain menggunakan kaedah menyoal, percakapan guru harus boleh
menggalakkan murid mengemukakan pendapat atau memberi tindak balas mereka.
Contohnya guru boleh menggunakan modifikasi tingkahlaku yang bersesuaian.
Peneguhan positif seperti memuji diberi kepada murid yang menunjukkan
tingkahlaku yang diingini. Hukuman dikenakan perlu adil dan bersesuaian.
Membantu Murid Bermasalah
Guru membimbing
dan membantu murid yang bermasalah. Sekiranya terdapat murid yang mempunyai
masalah peribadi seperti bersifat pendiam, penakut, pemalu, guru seharusnya
mengadakan sesi kaunseling untuk membantu mereka mengatasi masalah peribadinya.
Selepas itu guru menggalakkan mereka menyertai dalam aktiviti pembelajaran
bersama murid-murid yang lain. Guru juga harus mendorong murid-murid normal
supaya mereka dapat menerima murid-murid yang bermasalah dalam kumpulan mereka
dan tidak menyingkirkan murid-murid bermasalah tersebut. Cara ini dapat
mengelakkan mrid yang bermasalah mengalami gangguan emosi.
Peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling
Sekolah
Peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling Pihak
sekolah. Unit Bimbingan dan Kaunseling
sekolah boleh menganjurkan program-program yang berbentuk pendidikan sebagai
tindakan sokongan dalam pembentukan tingkahlaku. Program-program ini bertujuan membantu mereka
yang mempunyai masalah gangguan emosi untuk meningkatkan pencapaian akademik,
membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran dalam mengawal
tingkahlaku dan meningkatkan konsep kendiri murid-murid. Murid bersifat self-efficacy. Mengikut
Albert Bandura, murid haruslah bersifat self-efficacy iaitu murid yang boleh
belajar daripada kekalahan, mengambil inisiatif mencari punca kekalahan,
memikir bagaimana membaikinya demi menukarnya kepada kemenangan, dan bukan
membimbangi atau bersedih kerana kekalahan. Murid belajar untuk memandang
segala perkara secara optimistik kerana ianya merupakan cara yang paling
berkesan untuk menentang emosi yang kurang sihat ini. Murid-murid yang
mengalami gangguan emosi perlu mendapat perkhidmatan psikologi dan kaunseling.
Mereka ini perlu mendapat khidmat bimbingan kepada ahli psikologi, kaunselor
dan personel yang berkelayakan atau bertauliah. Kerjasama dengan ibubapa juga
perlu semasa seseorang murid itu mendapat bimbingan daripada ahli psikologi,
kaunselor dan personal yang bertanggungjawab. Ini kerana ibubapa juga perlu
diberi maklumat yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh anak-anak
mereka.
Perbincangan
antara dua pihak itu dibuat dari semasa ke semasa dan apa juga cadangan untuk
menangani masalah yang dihadapinya perlu dibuat bersama-sama. Selain daripada
itu, ibubapa juga membelikan buku-buku yang berkaitan dengan teknik-teknik
meningkatkan kecerdasan emosi dan menghadiahkannya kepada anak yang mengalami gangguan
emosi. Ibubapa juga memberikan beberapa
tunjuk ajar tentang cara-cara menguruskan emosi masing-masing. Guru atau ibubapa tidak memukul murid atau
anak yang mempunyai tingkah laku yang tidak diingini seperti anak yang
seringkali ponteng sekolah atau anak yang merokok. Murid perlu diberi peluang untuk
mengenalpasti kesalahan atau tingkah laku yang tidak diingini. Seterusnya diberi ruang untuk memperbaiki
tingkah laku yang tidak diingini itu. Ini
kerana sekiranya mereka memukul anak tersebut wujudnya perasaan benci, marah
terhadap orang yang memukulnya dan anak itu tidak akan memperbaiki tingkahlaku itu. Ini
akan meyebabkan anak atau murid itu mengalami gangguan emosi. Murid-murid yang
mengalami gangguan emosi perlu diberi bimbingan kerjaya. Dengan ini, mereka
akan meningkatkan konsep kendiri yang yang lebih positif. Langkah-langkah diatas adalah langkah-langkah
yang paling berkesan kepada murid yang gagal menguruskan emosi ,mereka dengan
berkesan. Langkah-langkah di atas akan
membantu seseorang individu yang mengalami gangguan emosi untuk menguruskan
emosinya dengan lebih berkesan secara berpatutan dengan kebijaksanaan menggunakan
kecerdasan emosi mereka.
Tiga Jenis Gangguan Emosi Murid
Gangguan Emosi Ringan
Kebiasaannya gangguan seperti ini tidak terlalu kelihatan
ciri-cirinya dari luar. Gangguan emosi yang ringan selalunya boleh diatasi
sendiri oleh murid tersebut. Tetapi, jika diamati secara mendalam, gangguan
emosi yang dialami oleh murid ini kian terserlah kerana kadang kala masalah
yang dihadapi masih kurang sesuai dengan tahap tumbesaran mereka. Walau
bagaimanapun, mereka masih mampu untuk mengatasinya dengan baik seterusnya
tidak menjejaskan emosi mereka secara mendalam. Sebagai contoh, naluri seorang
kanak-kanak untuk berkawan dan bermain bersama adalah tinggi, tetapi kadang
kala apabila tercetusnya konflik di mana mereka perlu berkongsi alat permainan
atau perkakasan belajar, emosi mereka serba sedikit terganggu dan mereka mampu
mengatasinya dengan baik.
Gangguan
Emosi Sederhana
Gangguan emosi jenis ini jika diamati, lebih jelas kelihatan
berbanding dengan gangguan emosi ringan. Gangguan ini dapat dilihat dari segi
fizikal seperti gerak badan, mimik muka dan perlakuan murid-murid tersebut
seperti marah, takut, sedih dan sebagainya yang berada pada tahap biasa sahaja
dan merupakan sesuatu yang normal bagi kanak-kanak lain.Penentangan yang
ditunjukkan pada kali ini dalah lebih kuat berbanding dengan gangguan emosi
jenis ringan sehingga menyebabkan mereka melahirkannya dengan menggunakan
pelbagai cara seperti menangis. Sebagai contoh, guru mengarahkan murid untuk
menyertai kumpulan yang telah ditetapkan, tetapi murid tersebut enggan
menyertai kumpulan tersebut lalu menangis bagi menyatakan kekecewaannya
terhadap tindakan yang dilakukan oleh gurunya.
Gangguan Emosi Berat
Bagi gangguan emosi jenis berat pula, dari segi fizikalnya, memang
dapat dilihat dengan begitu jelas sekali bahawa murid tersebut sedang mengalami
gangguan emosi kerana tingkah laku murid kelihatan agak pelik berbanding
tingkah laku sehariannya. Gangguan emosi jenis ini agak bahaya kerana mampu
mengundang bahaya apabila murid tersebut akan melakukan percubaan untuk
mencederakan rakan-rakannya atau dirinya sendiri. Apabila murid tersebut tidak
dapat mengawal emosinya, kadang-kala tindakannya akan berlebih-lebihan seperti
menjerit-jerit dan menghentak-hentakkan kaki atau anggota badannya sehingga
mendatangkan kecederaan. Sebagai contoh, apabila murid tersebut terlalu marah
kepada rakannya, mereka akan cenderung untuk bergaduh dan mencederakan satu
sama lain bagi memuaskan hati mereka. Jika perlakuaan seperti ini tidak
dibendung dari awal, murid tersebut tidak akan mampu untuk mengawal emosinya
apabila dewasa kelak seterusnya mengganggu proses pembelajarannya.
Selasa, 1 September 2015
1.0 PENGENALAN.
Sejak zaman 1970-an lagi, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami pembaharuan dalam aspek kurikulum. Dalam hal ini, gurulah yang bertindak sebagai agen perubahan untuk menjana transformasi pendidikan negara demi melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing untuk membangunkan Negara selaras dengan misi Wawasan 2020 yang dibawa oleh mantan Perdana Menteri Keempat iaitu Tun Dr Mahathir Bin Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara perindustrian yang maju menjelang tahun 2020.
Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) mula dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan. Bertitik tolak daripada pelaksanaan KLSR tersebut, sistem pendidikan negara sering mengalami perubahan mengikut situasi semasa. Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan ialah dengan memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989.
Namun begitu, KBSR telah disemak semula pada tahun 2003 kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Manakala, terbaharu KBSR (semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Pembaharuan kurikulum yang dilakukan ini boleh dikatakan sebagai satu inovasi kurikulum yang utama atau reformasi yang menyeluruh.
Sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat serta perubahan dan cabaran alaf ke-21, sistem Pendidikan Kebangsaan sentiasa diperkemas dan dibuat penambahbaikan dari masa ke masa. Proses yang dinamik dan berterusan dilaksanakan dalam pembangunan kurikulum ini bermatlamat untuk memperkukuhkan sistem pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan sosial, kebudayaan dan politik, menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih bersistematik dan selesa kepada para pelajar, meningkatkan taraf pendidikan di seluruh negara serta melaksanakan pendemokrasian pendidikan tanpa mengira bangsa, kaum mahu pun agama.
2.0 KONSEP
2.1 Konsep Transformasi
Definisi transformasi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) membawa maksud perubahan bentuk seperti sifat, rupa dan keadaan atau dengan erti kata lain transformasi merupakan satu perubahan daripada keadaan sedia ada kepada satu dimensi lain bertujuan untuk mengubah bentuk sesuatu kepada yang lebih baik bagi meningkatkan kualiti dan pencapaian (Artikel Pendidikan: Utusan Malaysia). Ringkasnya, transformasi juga lebih mudah difahami sebagai satu bentuk perubahan ke arah kebaikan.
Terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh tokoh yang berkait rapat dengan istilah transformasi atau perubahan. Istilah perubahan menurut Stoner (1989) di dalam Aini Hayati Mohamed (2001) mentakrifkan perubahan sebagai proses transformasi yang berlaku kepada organisasi sama ada dirancang ataupun tidak. Manakala menurut Jaafar Muhammad (1999) perubahan diperkenalkan hasil daripada pengubahsuaian kelakuan yang lepas menyesuaikan dengan situasi baru.
Antara pendapat lain berkenaan transformasi ialah sebagaimana yang dikemukakan oleh Mumtaz Began dan rakan-rakan (2002) yang melihat perubahan sebagai suatu bentuk peralihan daripada satu dimensi yang dapat diramalkan kepada dimensi yang lebih baik atau lebih sesuai dengan persekitaran sesuatu masyarakat. Perubahan yang berlaku ini juga mungkin merangkumi pelbagai aspek penting.
2.2 Konsep
Kurikulum
Kurikulum pada dasarnya berasal daripada perkataan curere yang merupakan perkataan latin yang membawa maksud jejak atau laluan. Selain itu, kurikulum dalam bahasa inggeris memberi maksud jelmaan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mentakrifkan kurikulum sebagai skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di sekolah, senarai kesemua mata pelajaran (kursus pengajian) di sekolah dan institusi pendidikan.
Terdapat pelbagai definisi terhadap istilah kurikulum yang dinyatakan oleh pakar-pakar dan pengkaji. Sesetengah pengkaji berpendapat kurikulum merupakan satu pengalaman. Menurut Neagly dan Evans dalam Kamaruddin Hj. Husin dan rakan-rakan (2004) kurikulum ialah semua pengalaman yang dirancang dan dikemukakan oleh pihak sekolah yang bertujuan untuk membimbing murid memperoleh hasil pembelajaran yang telah ditetapkan mengikut keupayaan masing-masing.
Menurut pendapat Ishak Ramly (2003), kurikulum merangkumi semua pengalaman yang didapati di dalam dan di luar sekolah dan perkara yang diajarkan di sekolah dan bilik darjah. Beliau turut mengelaskan kurikulum kepada tiga bahagian iaitu kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah, kurikulum sebagai program yang dirancang dan dilaksanakan secara praktikal di dalam kelas serta kurikulum adalah pengisian sepanjang hayat bagi membudayakan ilmu dan pengalaman individu ataupun berkumpulan.
Kurikulum juga turut dinyatakan sebagai pelajaran yang formal dan pelajaran yang tidak formal oleh Hargreaves dalam Hansen et al. (2002). Pelajaran formal merangkumi kurikulum yang telah ditetapkan matlamat serta rancangan oleh kementerian, kurikulum yang dilaksanakan (berkaitan dengan cara bagaimana guru menterjemahkan kurikulum yang dihasratkan kepada amalan, aktiviti dan susunan) dan kurikulum yang tercapai atau yang diterima, yakni apa yang pelajar sebenarnya capai melalui pengalaman pendidikan. Manakala pelajaran yang tidak formal merujuk kepada kurikulum terpendam yakni pendidikan secara tidak langsung yang berlaku apabila belajar mengenai kuasa, pujian dan manusia.
Rumusannya, tafsiran kurikulum merangkumi skop yang sangat luas berdasarkan kepelbagaian definisi yang telah dinyatakan. Kurikulum merangkumi kesemua aspek pengalaman pembelajaran yang diperolehi oleh murid secara formal atau tidak formal dan memberi kesan terhadap perkembangan jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek setiap murid.
3.0 ISU DAN CABARAN UTAMA DALAM MEREALISASIKAN TRANSFORMASI KURIKULUM PERSEKOLAHAN
Transformasi dalam bidang kurikulum persekolahan sering menjadi polemik dan diberi perhatian khusus oleh pentadbir pendidikan. Dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sentiasa merangka, merancang dan melakukan penambahbaikan sistem pendidikan di Malaysia. Antara langkah yang diambil termasuklah memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP,2006-2010) dan yang terkini Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Transformasi pendidikan ini bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara ini dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan cabaran abad ke 21 (Muhyidin 2013, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025).
Namun begitu, proses transformasi ini bukanlah mudah kerana ianya melibatkan ramai pihak khususnya warga pendidik di sekolah yang menjadi agen transformasi bagi setiap perubahan yang dirancang oleh pihak pentadbir pendidikan. Justeru, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dalam merealisasikan transformasi tersebut.
Cabaran yang paling utama dihadapi ialah dari aspek kesediaan guru dari segi sikap dan pemikiran mereka untuk menerima dan melaksanakan transformasi dengan penuh dedikasi dan kesungguhan. Sudah pastinya terdapat segelintir guru mempunyai pemikiran dan sikap negatif terhadap transformasi ini. Hal ini sedikit sebanyak menyukarkan dasar baru ini dijalankan kerana komitmen daripada guru-guru amat penting bagi memastikan usaha-usaha ini dapat dijalankan dengan sepenuhnya. Lebih membimbangkan apabila terdapat juga percanggahan pendapat dan perdebatan daripada sesetengah guru terutamanya mereka yang telah lama berkhidmat menolak dasar ini dengan pelbagai alasan.
Oleh yang demikian, dalam menghadapi cabaran tersebut seringkali wujudnya pelbagai isu berkaitan dengan proses transformasi yang ingin dilakukan. Isu yang timbul ini adakalanya melibatkan aspek kekangan masa, ruang, sikap guru dan sebagainya. Namun saya telah melihat isu bebanan tugas guru sebagai satu isu utama yang menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan guru di sekolah apabila mereka dibebankan atau diberikan pelbagai arahan yang perlu dilaksanakan di sekolah terutamanya dalam proses transformasi kurikulum pada hari ini. Bebanan tugas guru ibarat isu yang tiada kesudahannya. Walaupun ada segelintir pihak yang menyatakan bahawa gaji yang diperoleh oleh guru adalah lumayan, kita perlu melihat dan menilai kerja yang dilaksanakan itu adalah berbaloi atau tidak.
Sistem pendidikan Malaysia yang berpusat menyebabkan kebanyakan dasar dan perancangan digubal pada peringkat kementerian dan diturunkan ke sekolah.
Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kebanyakan pentadbir atau guru tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa akur dengan dasar pendidikan yang ditetapkan. Walaupun pada hakikatnya keupayaan setiap sekolah adalah berbeza namun sistem yang digunakan ini menyebabkan semua sekolah di Malaysia perlu akur dan mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah tersebut untuk melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri.
Sebagai contohnya, Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada tahun 2003 telah menjadi satu dasar yang wajib dilaksanakan di sekolah. Guru tiada pilihan melainkan datang menghadiri kursus yang dikelolakan selama tiga minggu atau terpaksa mengajar subjek lain. Akhirnya guru yang mempunyai kemahiran bertahun-tahun mengajar mata pelajaran tersebut tidak dapat melaksanakan pengajaran tersebut kerana bermasalah dengan penguasaan bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, baharu saja guru yang terlibat dalam program berkenaan berusaha meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan program tersebut, akhirnya ia dimansuhkan dan digantikan dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI. Menurut akhbar Utusan Malaysia bertajuk Perubahan MBMMBI atau kekal PPSMI oleh Tan Sri Alimuddin (2011) menyatakan bahawa antara sebab pemansuhan PPSMI adalah kerana penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin merosot jika dibandingkan semasa penggunaannya dalam bahasa Malaysia. Maka, sekali lagi guru-guru yang terlibat terpaksa pula bermula dari awal. Apa yang jelas, banyak masa guru diambil untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelaksanaan sesuatu program berbanding masa untuk melaksanakannya.
Sebagaimana yang telah diketahui, kurikulum persekolahan mengalami perubahan bermula tahun 2011 apabila KBSR telah digantikan dengan KSSR. Kewujudan KSSR di sekolah ada baik dan buruknya. Usaha transformasi ini dinggap baik kerana melalui KSSR pihak KPM berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai. Namun begitu, Menurut Shafizan Omar (2013) dalam artikel akhbar yang dikeluarkannya menyatakan bahawa sebahagian kumpulan guru berdepan tekanan dalam melaksanakan KSSR berikutan beban kerja yang bertambah, termasuk proses memfailkan laporan KSSR yang menurut mereka, boleh mengurangkan masa untuk mereka bersama murid.
Dalam masa yang sama, guru juga bertanggungjawab terhadap Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang disediakan oleh KPM yang berfungsi sebagai pusat pengumpul, penyimpan dan menganalisis data peperiksaaan dalaman setiap sekolah di seluruh Malaysia. Guru mata pelajaran dan guru kelas perlu mengisi markah dan data-data murid dalam peperiksaan melalui internet. Saya memetik keluhan daripada oleh Siti Roshayu, seorang guru mengenai sistem ini. Beliau mengatakan bahawa, “sistem SAPS yang kononnya diselenggara oleh pakar IT kementerian ini ibarat meletakkan batu seberat 10 TAN di kepala kami sebagai warga pendidik”. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun transformasi ini pada dasarnya berpotensi dalam membentuk satu sistem dalam talian yang akan memberi pelbagai impak positif kepada seluruh masyarakat. Namun dalam masa yang sama kelemahan yang terdapat dalam penyelenggaraan sistem ini menyebabkan guru menghadapi beban tugas yang amat berat di luar keupayaan mereka.
Langgan:
Catatan (Atom)