Tekanan atau stress yang melanda seseorang akan menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas mengikut keadaan dan tahap tekanan tersebut. Dalam menghadapi tekanan emosi ini bergantung kepada tahap tekanan tersebut sama ada ia berada di dalam tahap tekanan rendah atau tinggi. Sekiranya tahap tekanan tersebut adalah rendah maka tindakbalas individu terhadap tekanan tekanan itu tidak terlalu besar dan begitu juga sebaliknya.
Menurut pendapat yang dinyatakan oleh Fontana(1989), menyatakan bahawa tekanan emosi ini adalah satu bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan minda dan fizikal serta seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan menangani permintaaan tersebut, tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif. Ini bermaksud cara seseorang menangani tekanan bergantung kepada tahap kesediaan minda dan fizikal seseorang untuk menerima atau menyerap sesuatu tekanan yang diterima.
Sekiranya individu terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, sudah tentulah tekanan yang datang ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan individu tersebut tertekan dan menghadapi masalah yang lebih besar.
Tekanan bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan kerana ia boleh membawa seseorang kepada perubahan perlakuannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Namun, semuanya bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal seseorang untuk menyerap tekanan dan dapat menerima tekanan tersebut secara positif.
Dalam bidang pendidikan lain pula ceritanya di mana guru sering menghadapi tekanan yang teruk akibat daripada dasar pendidikan dan keperluan untuk memenuhi matlamat pendidikan yang terlalu tinggi. Pihak Kementerian telah memperkenalkan kemudahan aplikasi teknologi dan maklumat untuk dilaksanakan di sekolah yang sangat bermanfaat dan mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Memang semua guru sedia maklum tentang perkara ini tetapi tidak semua guru mampu menguasai kemahiran aplikasi ini terutama guru yang telah berumur kerana mereka tidak mendapat pendedahan yang secukupnya dan mereka perlu belajar semula kemahiran ini. Di sinilah telah timbulnya satu tekanan emosi dalam kalangan guru di mana-mana sekolah sekali pun.
2. Tekanan Emosi Guru Melaksanakan P&P Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Di Malaysia, profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar dan memerlukan ketahanan dari segi mental dan fizikal seseorang guru untuk mengadaptasikan perubahan yang berlaku. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai satu usaha dalam meningkatkan mutu sistem pendidikan di Malaysia. Pelaksanaan pelbagai-bagai reformasi ini, tugas, peranan dan tanggungjawab guru menjadi semakin mencabar. Tekanan terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan. Bukan sekadar itu, masalah ini akan membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan mutu pendidikan.
Dr.Sapora Sipon, (2007) menyatakan peratusan kadar stress dalam kalangan pekerja di Malaysia yang telah dicatatkan pada tahun 2011 juga menunjukkan bahawa guru berada pada tempat keempat dengan peratusan sebanyak 45.8 % berbanding pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti jururawat, doktor dan sebagainya. Statistik ini membuktikan bahawa tugas guru ini bukan tugasan biasa dan mudah seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.
Tekanan emosi yang berpunca daripada kurangnya penguasaan dalam kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi ini telah mengakibatkan setengah guru menjadi tidak bermotivasi untuk menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka di sekolah. Penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi ini mempunyai kekurangannya yang tersendiri dan ia telah menjadi punca sebenar wujudnya tekanan emosi dalam kalangan guru. Guru tidak perlu memperuntukkan masa pembelajaran mereka untuk menunggu kelemahan jaringan internet untuk memasukkan markah ke dalam aplikasi yang disediakan. Igauan buruk kepada guru pula sekiranya tidak menggunakan aplikasi tersebut, pelbagai tindakan akan dikenakan ke atas mereka dan bagi mereka yang tidak menguasai kemahiran teknologi ini. Lama kelamaan akan menjadi tidak bermotivasi untuk menjalankan tugas mereka.
Seterusnya, seseorang guru juga menghadapi tekanan dalam menyesuaikan diri dalam perkembangan era globalisasi terutamanya dalam penggunaan alatan yang semakin canggih dalam sesi pengajaran. Bertitik tolak daripada itu, guru-guru pada masa kini perlu memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang setaraf dengan perkembangan era globalisasi yang dihadapi selain bebanan tugas yang lain yang sedia ada. Dahulu, teknologi dalam bidang pendidikan tidak berkembang pesat seperti hari ini. Oleh itu, kebanyakkan guru-guru tidak berpeluang untuk mendedahkan diri kepada teknologi dalam bidang pendidikan. Hal ini menyebabkan sebahagian guru tidak mahir dalam menggunakan teknologi pada hari ini untuk pengajaran. Mereka juga menganggap penggunaan ICT yang semakin canggih pada hari ini merupakan sesuatu yang komplex dan tidak mudah untuk dipelajari. Hal ini menyebabkan kegusaran dan menjadi satu tekanan kepada guru yang seterusnya membawa kepada tekanan emosi mereka.
Selain itu masalah mencari maklumat yang mempunyai akses ke teknologi maklumat dan komunikasi tidak menjamin maklumat ada dapat digunakan untuk pembelajaran yang bermakna. Keadaan ini berlaku kerana guru menghadapi masalah untuk membuat pilihan ketika mencari maklumat disebabkan gambaran di hadapan mereka bercampur aduk serta maklumatnya bercelaru. Keadaan ini akan memberi kesan kepada pemilihan. Oleh itu guru haruslah melengkapkan diri dengan kemahiran menggunakan enjin mencari maklumat yang dikehendaki daripada teknologi tersebut.
Guru juga mengahadapi masalah menghasilkan pembelajaran secara talian. Penghasilan bahan pengajaran secara talian di kalangan guru masih lagi di tahap yang rendah.Ini disebabkan kebanyakan para guru tidak mempunyai pengalaman untuk membina laman web. Ini diakui melalui kajian Foong (1999) menunjukkan hanya 12.5% daripada guru diSelangor mempunyai pengalaman dan pengetahuan merekabentuk laman web. Kekurangan kemahiran ini telah membataskan guru untuk menghasilkan bahan pengajaran secara talian. Selain itu, penyediaan pembelajaran secara talian memakan masa yang panjang berbanding penyediaan pengajaran secara tradisional. Kajian yang dijalankan oleh National EducationAssociation dalam Weiner (2000) terhadap guru-guru di Amerika mendapati 43% gurumenyatakan penyediaan untuk pembelajaran secara talian memakan masa yang lebih lama kerana beban kerja tambahan yang perlu dilakukan seperti merekabentuk laman web.
Selain daripada masalah yang diutarakan terdapat masalah yang paling ketara di sekolah iaitu kekurangan peralatan untuk teknologi maklumat dan komunikasi ini. Untuk mencapai tahap penggunaan yang optima, beberapa komputer diperlukan untuk kegunaan di dalam bilik darjah. MengikutMcKenzie (1996) yang menyatakan guru memerlukan 6 sehingga 8 unit komputer di sekolah rendah dan 10 sehingga 15 unit komputer di sekolah menengah untuk membolehkan program berasaskan teknologi dilaksanakan dengan berkesan di sekolah. Namun demikian,kemudahan ini sukar diperolehi kerana kebanyakan sekolah hanya mampu menyediakan computer di makmal komputer sahaja. Penyusunan demikian akan menyebabkan tahap penggunaan VLE Frog masih rendah dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan laman pembelajaran ini menjadi sukar kerana tidak terdapat komputer dalam kelas. Ini adalah disebabkan kekangan peruntukan kewangan untuk membeli komputer dan membuat penyelenggaraan komputer.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan