Gangguan Emosi Ringan
Kebiasaannya gangguan seperti ini tidak terlalu kelihatan
ciri-cirinya dari luar. Gangguan emosi yang ringan selalunya boleh diatasi
sendiri oleh murid tersebut. Tetapi, jika diamati secara mendalam, gangguan
emosi yang dialami oleh murid ini kian terserlah kerana kadang kala masalah
yang dihadapi masih kurang sesuai dengan tahap tumbesaran mereka. Walau
bagaimanapun, mereka masih mampu untuk mengatasinya dengan baik seterusnya
tidak menjejaskan emosi mereka secara mendalam. Sebagai contoh, naluri seorang
kanak-kanak untuk berkawan dan bermain bersama adalah tinggi, tetapi kadang
kala apabila tercetusnya konflik di mana mereka perlu berkongsi alat permainan
atau perkakasan belajar, emosi mereka serba sedikit terganggu dan mereka mampu
mengatasinya dengan baik.
Gangguan
Emosi Sederhana
Gangguan emosi jenis ini jika diamati, lebih jelas kelihatan
berbanding dengan gangguan emosi ringan. Gangguan ini dapat dilihat dari segi
fizikal seperti gerak badan, mimik muka dan perlakuan murid-murid tersebut
seperti marah, takut, sedih dan sebagainya yang berada pada tahap biasa sahaja
dan merupakan sesuatu yang normal bagi kanak-kanak lain.Penentangan yang
ditunjukkan pada kali ini dalah lebih kuat berbanding dengan gangguan emosi
jenis ringan sehingga menyebabkan mereka melahirkannya dengan menggunakan
pelbagai cara seperti menangis. Sebagai contoh, guru mengarahkan murid untuk
menyertai kumpulan yang telah ditetapkan, tetapi murid tersebut enggan
menyertai kumpulan tersebut lalu menangis bagi menyatakan kekecewaannya
terhadap tindakan yang dilakukan oleh gurunya.
Gangguan Emosi Berat
Bagi gangguan emosi jenis berat pula, dari segi fizikalnya, memang
dapat dilihat dengan begitu jelas sekali bahawa murid tersebut sedang mengalami
gangguan emosi kerana tingkah laku murid kelihatan agak pelik berbanding
tingkah laku sehariannya. Gangguan emosi jenis ini agak bahaya kerana mampu
mengundang bahaya apabila murid tersebut akan melakukan percubaan untuk
mencederakan rakan-rakannya atau dirinya sendiri. Apabila murid tersebut tidak
dapat mengawal emosinya, kadang-kala tindakannya akan berlebih-lebihan seperti
menjerit-jerit dan menghentak-hentakkan kaki atau anggota badannya sehingga
mendatangkan kecederaan. Sebagai contoh, apabila murid tersebut terlalu marah
kepada rakannya, mereka akan cenderung untuk bergaduh dan mencederakan satu
sama lain bagi memuaskan hati mereka. Jika perlakuaan seperti ini tidak
dibendung dari awal, murid tersebut tidak akan mampu untuk mengawal emosinya
apabila dewasa kelak seterusnya mengganggu proses pembelajarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan